Tuesday 26 January 2016

Manisnya Souffle' ~ Prolog & Bab 1

PROLOG

PANGG!!!

Bunyi tamparan bergema kuat di satu sudut belakang bangunan fakulti business, Université Paris Dauphine itu. Naik memerah muka si gadis menahan geram dan sakit hatinya. Tetapi tetap gagah dikepong air matanya supaya tidak tumpah di depan lelaki yang telah menghancur lumatkan hati dan perasaannya.

“How could you do this to me Danny? Kay tu kawan baik I! Kawan baik I sendiri!!” Bertempik kuat suara nyaring Mia Aizara menggegar peluput telinga si teman lelaki. Tali beg yang dipegang erat sejak tadi dihempuk ke dada bidang itu sekuat hati. Tanpa dapat ditahan, menghambur keluar air matanya yang ditahan dari tadi.

Melihat Danny yang hanya berdiam tanpa perjelasan makin membuatkan tangisannya bertambah kuat. Percintaan yang disulam hampir dua tahun, kini musnah sekelip mata. Musnah dihadapan biji matanya sendiri. dia sendiri yang menjadi saksi, dan bukti kecurangan teman lelakinya itu dengan kawan baiknya sendiri, Kay.

I’m sorry Mia...I...I tahu I silap. Tapi Kay yang goda I.”

Mia mendengus kasar. “Kay yang menggoda? Tapi kalau you tak layan, benda ni pun takkan terjadi!”

“I mabuk Mia!” Danny cuba bertegas. Menegak benang yang basah, walaupun dia tahu semuanya takkan berhasil. Dia cukup kenal dengan sikap keras kepala teman wanitanya itu.

“Alasan Danny,” ujarnya sinis. Kemudian Iphonenya dikeluarkan dan gambar yang dikirim oleh nombor tak dikenalinya itu beberapa minggu lalu ditunjuk tepat ke depan mata lelaki itu. Jelas terpampang gambar teman lelakinya itu sedang berpegang tangan mesra dengan Kayla. Malah senyum lebar yang terlorek di wajah itu mengukuhkan lagi bukti kecurangan lelaki itu dibelakangnya selama ini.

“Can you explain what this mean?”

Melihat perubahan air muka pucat itu semakin meyakinkannya kalau telahan yang selalu bermain di kepalnya semenjak kebelakangan ini adalah betul. Hatinya sakit! Pedih!
.
Beberapa minit sunyi mengulit. Akhirnya nafas dilepas Danny. Tembelangnya dah pecah, tak ada yang boleh disorokkannya lagi.

I’m sorry Mia...I tak sangka benda akan jadi macam ni,” luah Danny rendah walaupun wajah basah itu menuntut rasa bersalahnya. “I think its time to say goodbye. I doakan you akan jumpa lelaki yang beribu kali lebih baik daripada I Mia.”

Demi mendengar sebaris kata itu, serta merta longlai terasa tubuhnya hingga dia jatuh melurut dan terjelepuk ke atas hamparan rumput menghijau di situ. Air mata mengalir lesu di pipi.

Danny yang dihempap rasa bersalah yang bukan kepalang mula mencangkung. Tapi baru sesaat tubuhnya diturunkan, tangan halus itu sudah menolak kuat dadanya hingga terduduk dia ke belakang.

“Pergi...I tak nak tengok muka you lagi,” suara Mia kedengaran mendatar.

“Mia....” Lengan itu cuba disentuh.

Just go Danny!! I tak nak tengok muka you lagi. Pergi!!!” Jerit Mia lagi dengan cerlungan maut menikan tepat ke wajah kacak itu. Wajah yang sejak dulu sentiasa menjadi pujaan hatinya, sekelip mata saja sudah bertukar jelik di pandangan matanya. Apatah lagi memikirkan apa yang telah lelaki itu buat dengan Kayla di biliknya, atas katilnya sendiri! Jijik!

Langkah lelaki itu hanya disorot dari jauh. Tanpa sedar akhirnya dia mengongoi di situ sendirian. Terasa dingin pipinya disapu angin sejuk bulan April walaupun musim bunga sudah bermula di bumi Perancis ini. Ini adalah kali pertama air matanya tumpah semenjak kali terakhir dia menangis hampir lima tahun lalu sewaktu arwah mamanya menghembuskan nafas terakhirnya.

*****
JALAN kecil yang menempatkan deretan bangunan classic yang dipenuhi dengan kedai-kedai dan cafe-cafe kecil ditelusuri perlahan. winter coat putih ditariknya rapat ke tubuh. Mata bundar itu menebar kosong sepanjang jalan kecil yang dilaluinya itu sebelum berhenti di salah sebuah bangunan di situ. Pintu restoran France, La Cigale Recamier yang terletak di jalan kecil bertentangan dengan Hotel Lutecia itu ditolaknya. 

Bienvenue.” Bergema suara pekerja menyambut kedatangannya.

Dia memilihmeja bersebelahan dinding yang menempatkan berpuluh-puluh keping gambar yang dijadikan sebagai dekorasi di situ. Antara Restoran yang terkenal di paris dengan sajian pastrinya. Duduknya dilabuhkan ke kerusi. Nafas lelah dilepasnya panjang. Perlahan-lahan selendang sutera yang melilit di leher jinjangnya itu dirungkai dan diletak atas meja. Kemudian datang seorang wanita berambut blonde ke mejanya.

“Bonjour, puis-je prendre votre commande,” sapa wanita pertengahan 20-an itu

Setelah pesanan dibuat, dia termenung jauh. Sudah hampir sebulan berlalu peristiwa di belakang bangunan itu, tapi sampai sekarang luka di hatinya masih sakit terasa. Terlalu banyak kenangan dia dan Danny yang tak mampu dilupakannya. Danny adalah lelaki pertama yang berjaya membuat dia ketawa setelah kematian mamanya dulu. Danny yang mengembalikan semangat dan dirinya yang hilang. Tapi kini yang tinggal hanya luka di hatinya.

Mata ditebar ke sekeliling restoran yang nampak lengang petang itu. Pandangannya disorot ke arah meja kecil yang terletak berdekatan tingkap kaca menghadap ke luar itu. Seakan ternampak-nampak lagi bayang dia dan Danny sedang bergelak ketawa di sana. Port kegemaran mereka setiap kali mereka datang ke sini untuk menghabiskan masa bersama.

Air mata merembes lagi. Terus mukanya disembam ke atas meja menyembunyi tangis supaya tak kedengaran kuat. lama dia melepaskan perasaan sedih yang membungkam dijiwanya itu. Saat ini hanya belaian dan suara lembut arwah mamanya saja yang diharapkan dapat mengubat luka pedih dihatinya ini.

Hot chocolate soufflés with chocolate cream sauce, and warm milk for you miss. buat pengubat hati yang berduka...”

Sayup kedengaran suara garau menampan telinganya saat itu. Setelah mampu mengawal perasaannya, mukanya diangkat. Tiada siapa di sekelilingnya kecuali pekerja wanita yang mengambil pesanannya tadi. Pipi basahnya dikesat dengan tisu di situ. Saat itu juga matanya jatuh pada souffle coklat yang terhias cantik dengan taburan gula halus dan potongan strawberry segar diatas.

Piring itu dipegangnya dengan riak bingung seraya menebar mata ke sekeliling. Bila masa pulak aku pesan chocolate souffle’ ni? Bila teringatkan suara garau yang berpuput ditelinganya sebentar tadi, dia tertegun seketika. Ada orang melayu ke yang bekerja dekat sini?

Lambat-lambat bibirnya melorak senyum kecil. Tanpa menunggu lama terus garpu kecil diambilnya. Saat manisan yang cukup terkenal di Paris itu mencair di dalam mulutnya. Terasa seolah-olah segala beban dan hatinya seakan diangkat dan dibawa pergi. Manisnya souffle’ itu seakan berjaya mengusir lara dihatinya...





BAB 1

DUA tahun berlalu...

Langkah kemas yang diatur lagak model professional itu menggamit mata sesiapa saja yang memandang sebaik saja si gadis melangkah keluar dari perkarangan balai ketibaan antarabangsa. Rambut panjang brunet itu beralun cantik mengikut lenggok si pemilik tubuh langsing itu bersama bagasi pink yang ditariknya.

Mia mula melepas lelah di kerusi panjang kosong menghadap ke pintu automatik lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur, KLIA itu. Setelah hampir lima tahun menetap di Perancis, akhirnya kini dia pulang dengan segulung ijazah dan masternya dalam bidang perniagaan. Rayban aviatornya ditolak ke atas kepala sebelum menggosok kejap matanya yang jelas nampak keletihan. Handbag Channelnya dibuka dan Iphone ditarik keluar. Nombor papa didial.

Mail box!

Dia mengeluh kasar, sebelum bersandar ke kerusi belakang. Baru seminit dua mata dipejam, kedengaran suara yang melaung memanggilnya dari jauh. Sebaik mata dibuka, dilihat Pak Rahman pemandu papanya sedang berjalan ke arahnya. Segera dia bangkit dari duduk.

“Pak Rahman?”

“Assalamualaikum cik Mia,” sapa Pak Rahman sebaik saja tiba di hadapan anak gadis majikannya itu. Sudah hampir dua tahun dia tak berjumpa dengan anak majikannya itu, kali terakhir mereka berjumpa pun hampir dua tahun lepas sewaktu gadis itu pulang bercuti raya.

Mia masih tayang riak terkejut. “Waalaikumsalam. Pak Rahman buat dekat sini? Nak ambil Mia ke?” Soalnya, tak lepas memandang lelaki yang hampir sebaya dengan papanya itu cuba mengambil bagasi besarnya.

“Ambil cik Mia la, buat apa lagi Pak Rahman datang sini,” seloroh orang tua itu.

“Tapi bukan papa kata papa yang nak am...”

“Tan Sri terpaksa terbang ke Jakarta semalam, ada meeting urgent katanya.” Pak Rahman sudah memotong terlebih. Memang semalam, Tan Sri Jamaluddin sendiri yang menyampaikan pesan padanya supaya tak lupa menjemput anak tunggalnya itu yang sudah menamatkan pengajiannya di Université Paris Dauphine dalam bidang business itu. Dapat dilihat jelas riak kecewa si gadis yang sudah dianggap seperti anaknya itu.

“Owh...Okay, takpe la. Memang biasa pun papa takde masa untuk Mia,” ucapnya rendah menyembunyi rasa terkilannya.

Pak Rahman hanya mampu tersenyum nipis mendengar. Siapa yang tak tahu dengan kesibukan Tan Sri Jamaluddin, majikannnya itu dalam menguruskan empayar hotel milik keluarganya itu. Dia pun tak mampu nak komen apa-apa, memandangkan dia hanyalah pekerja yang dibayar gaji tiap-tiap bulan.

“Dah...jom balik. Mak Wan dah masakkan lauk sedap-sedap untuk Mia. Pagi-pagi lagi dah ajak Pak Rahman pergi pasar beli lauk.”

Akhirnya tersenyum juga Mia mendengar buah bicara pemandu papanya itu. Laju dia mengangguk seraya membuntuti langkah Pak Rahman kearah BMW 8 series yang diparkir di seberang jalan sana.

“Sebelum balik, kita pergi ziarah pusara mama dulu boleh Pak Rahman?” Pintanya sebaik saja dia membolos masuk ke ruang belakang kereta mewah itu. sehelai selendang sutera pemberian arwah mamanya itu dibawa keluar dan dililit ke kepala

Lambat-lambat Pak Rahman mengangguk setuju. Gear dimasuk dan kereta mula menjalar pergi menuju ke Tanah Perkuburan Bukit Kiara, dimana arwah Puan Sri Latifah dikebumikan.

*****
Malam itu Mia menghabiskan masanya dengan berkaraoke sepuasnya dengan dua orang sahabat baiknya, Zatil dan Hazirah di pusat karaoke yang terletak di tengah ibu kota metropolitan Kuala Lumpur itu. Menyanyi bagai nak rak sampai tak terasa masa yang kian merangkak ke tengah malam. Balik awal pun buat apa kalau cuma tinggal dia seorang berdua dengan Mak Wan saja yang ada di rumah banglo besar itu.

Dihenyak tubuhnya ke kerusi sebaik saja habis gilirannya menyanyi. Hampir putus nafasnya menyanyi melepaskan perasaan sedihnya selepas mengunjungi pusara mamanya petang tadi.

“Mia...papa kau tak bising ke kau balik lambat macam ni?” Zatil bertanya bimbang. Sedangkan sekarang pun dia sudah panas punggung nak balik, tapi tengok dua orang kawannya yang masih sakan menyanyi itu, terpaksa dia tutup mulut.

Soalan itu seakan menggeletek hati Mia. “Papa aku mana pernah ambil kisah pasal aku. Balik lambat ke, balik awal ke. Aku ada ke takde dekat rumah tu, sama je. Papa aku dekat Jakarta, ada kerja,” luahnya. Memang dia sudah terbiasa dengan keadaan sunyi dan keseorangan. Malah sehari selepas mamanya disemadikan pun papanya masih sibuk dengan kerja, seolah-olah langsung tak terkesan dengan pemergian mamanya itu. Apatah lagi setelah papanya berkahwin semula dengan wanita yang tua hanya enam tahun saja darinya hampir empat tahun lalu, setahun selepas pemergian mamanya. Terasa dirinya makin tersisih, atau dia sendiri yang menyisihkan dirinya sendiri? tapi yang pasti dia dapat merasakan jurang yang semakin jauh antara dirinya dan papanya setelah pemergian arwah mamanya dulu.

“Tak baik la kau cakap papa kau macam tu. Papa kau kerja keras untuk kesenangan kau jugak. Kalau tak, takde la kau dapat hadiah graduation besar dekat luar sana tu. Audi TT kot!” Celah Hazirah pula. Siapalah yang tak kenal dengan Mia Aizara Tan Sri Jamaluddin, hidup dilimpahi dengan kemewahan sejak lahir. Tak hairanlah kalau Mia digelar Paris Hilton Malaysia, satu-satunya pewaris empayar perniagaan hotel yang dimiliki keluarganya.

Kelat senyum yang dilarik Mia. Kalau setakat kemewahan yang melimpah ruah, tapi hati kosong dengan kasih sayang, tak ada gunanya juga.

“Tak nak la cakap pasal aku. Kau...kau dengan Syafiq bila nak kahwin? Bercinta punyalah lama dari zaman sekolah, tapi sampai sekarang masih macam tu jugak!” Bebelnya pula. Kalau dikira dengan jarinya sekarang, hubungan Zatil dengan Shafiq itu sudah berlarutan hampir sepuluh tahun, semenjak zaman mereka sekolah menengah lagi.

Zatil garu kepala. “Itulah, mak aku pun dah penat membebel pasal aku dengan Shafiq. Tapi aku ni perempuan babe! Takkan aku pula yang nak terhegeh-hegeh suruh Syafiq masuk meminang, kalau dia pun diam aje.” Pening dia memikirkan hubungannya sekarang. Memang kalau diikutkan hatinya, esok jugak dia nak kahwin, tapi masalahnya setiap kali dia mengutarakan perihal itu, ada saja cara teman lelakinya itu nak mengelak!

“Kalau aku la Za...dah lama aku cari lain. Buat apa nak setia pada hubungan yang langsung tak ada hala tuju macam tu! Nampak sangat yang Syafiq tu takde effort nak jadikan kau isteri dia.” Hazirah menyampuk geram

“Tapi aku sayangkan dia,” Zatil meluah bersama keluhan kecil.

Mia bersandar ke belakang seraya memeluk tubuh. “Sayang biar berpada Za. Takut nanti kau yang terluka.”

Zatil dan Hazirah memandang sesama sendiri sebelum jatuh semula ke wajah Mia.

“Hah...cakap pasal lelaki ni. Kau dengan lelaki yang kau selalu upload gambar dekat instagram tu macam mana? Bukan mesra lagi aku tengok, Siap berlaga pipi lagi.” Hazirah nak mula mengorek rahsia Mia pula.

Mia tergelak. “Gibran? Baru putus minggu lepas.” Selamba dia menjawab seolah-olah putus hubungan itu perkara yang biasa baginya.

Zatil mula tarik sila depan sahabatnya itu. dia sebagai kawan, tak dinafikan kalau dia agak risau dengan Mia yang dirasakan terlalu bebas berkawan. Bertukar teman lelaki macam tukar handbag pulak gayanya.

“Mia...aku nak tanya kau. Umur kita dah berapa?” Zatil bersuara.

Kening Mia terjungkit. “26.”

“26? Kau rasa umur macam tu dah layak bagi komitmen tak dalam perhubungan?” Tanya Zatil lagi sambil memeluk tubuh. Hazira di sisi tersengih kecil.

Tak lepas dua sahabat baiknya itu dipandang, cuba mencerna setiap ayat yang disampaikan.

I think its depend on yourself. Kalau kau rasa kau dah sedia, dah puas hidup membujang, teruskan. Tapi kalau kau belum bersedia lagi, kenapa nak paksa diri. Hidup kau, kau yang tentukan sendiri.” Nah...itu jawapan yang terpacul dari bibir merah mungil itu

Terangguk-angguk Zatil mendengar jawapan bernas itu. Memang ada betulnya jugak apa yang dikatakan Mia itu.

“Tapi...kau rasa okay ke dengan hidup kau sekarang? Asyik bertukar teman lelaki macam kau tukar baju. Aku bukan nak mempertikai cara hidup kau. Tapi aku sebagai kawan baik yang sayangkan kau, aku tak nak tengok kau terus hidup macam ni. Aku nak tengok kau bahagia dengan lelaki yang betul-betul kau cinta, bukan sekadar lelaki yang boleh kau habiskan masa berpeleseran sana sini.” Panjang lebar Zatil meluahkan apa yang terbuku di hati. Hazira disebelah turut angguk setuju.

Terdengar bunyi nafas berat yang dilepas Mia. “Lelaki semua sama la Za. Habis madu, sepah dibuang!” Dia menegas.

“Tak semua lelaki macam tu Mia. Contoh macam abang aku. Dah tujuh kahwin dengan kakak ipar aku, bahagia aje.”

“Itu sebab abang kau baik!”

“Sebab kau tak mencari dengan mata hati, sebab tu kau tak jumpa yang baik. Padahal ramai aje lelaki baik dekat luar sana, tapi mungkin kau aje yang tak pandang,” tingkah Zatil lagi bunyi tak puas hati.

Tangan Mia digenggam Hazira.

“Kau tak boleh samakan semua lelaki dengan Danny. Sepatutnya kau bersyukur, sebab Allah bukakan mata kau untuk tengok kecurangan Danny. Cuba kalau kau tahu lepas kau dengan dia dah bertunang ke, dah berkahwin, tak ke lagi haru masa depan kau kalau macam tu?” kata Hazira pula masuk mencelah.

“Kau jangan sebut lagi nama tu boleh tak?!” bentak Mia riak tegang. Cukup pantang kalau nama itu disebut lagi, baginya lelaki itu sudah mati dari hidupnya!

Hazira yang terpana sekejap ditikam panahan mata tajam itu segera angkat kedua tangan tanda mengalah. “Okay fine, i’m sorry.”

Mia mendengus kasar melepas nafas. tak semena-mena perasaanya jadi berkecamuk semula. tangannya pantas menyelongkar isi tas tangannya. beberapa saat kemudian, sepapan coklat cadbury dikoyak dan dibuka. digigit dan dikunyah-kunyah untuk melegakan hatinya semula yang bergelora bagai dibagai tsunami.

"Haih...sejak bila pulak Mia yang aku kenal suka makan benda-benda manis ni?"

Tersentak Mia dengan pertanyaan Zatil yang tiba-tiba itu. Serta merta kunyahannya terhenti.

"Entah, aku pun pelik." sahut Hazirah pula bersama kerut. Kalau dulu pantang dihulur segala coklat dan gula-gula, pasti ditolak wanita itu. Nanti gemuk katanya! Almaklumlah... Cik Mia mereka ni memang begitu menitik beratkan aspek penjagaan bentuk badan. Tak hairanlah bentuk tubuh langsing sahabat mereka itu cantik mengalahkan model. cantik berlekuk di bahagian yang sepatutnya.

Mia berdehem. "Bila masa pulak aku cakap aku tak suka makan benda manis? aku makan bukannya selalu." tingkahnya menyembunyikan gugup. dia sendiri bingung sebenarnya dengan perubahan dirinya yang satu itu. entah kenapa semenjak peristiwa di kafe dua tahun lalu itu, dia seakan sudah jatuh cinta pada manisnya souffle' itu. Pelik... walhal selama ini benda manis itulah yang selalu dihindarinya.

Bersambung....





Mia Aizara



Zafeeq Aidan


P/S: Assalamualaikum syg semua. Insha allah 'Manisnya Souffle' ini adalah buah hati terbaru Dila buat pembaca semua setelah 'Dia semanis honey' ditamatkan :) doakan juga supaya novel 'Suri Hati Mr.Pilot' yang akan menemui pembaca dalam sikit masa saja lagi akan berjalan lancar. Kisah ini masih baru dan awal, mungkin semua masih tak dapat menangkap jelas plot cerita ni, tapi harap2 masih ada yg sudi tinggalkan komen okeh  ^_~


2 comments:

Unknown said...

BEST.

Wan Azida said...

Best dila, looking forward nk melayari kisah Mia dn Zafeeq pulak.