Tuesday 26 April 2016

Manisnya Souffle' - BAB 11 & 12





BAB 11

“Sudah-sudah la tu Zaf gomol budak tu, rimas pulak dia mama tengok.” Tegur Dr Maisarah sebaik meletak sepiring pinggan berisi kek batik ke meja kopi di tengah ruang televisyen itu. duduk dilabuhkan ke sofa putih gading itu.

“takde maknanya rimas...kan Ica kan...suka lagi Pak Su buat macam ni ada la.” Habis disondol-sondol kepalanya ke perut kecil itu sampai tergelak-gelak anak sedaranya yang baru berumur tiga tahun setengah itu.

Tertawa Dr. Maisarah melihat gelagat anak cucunya itu. kalau Pak Su-nya itu balik ke sini, memang menempel sajalah dua orang cucunya. Habis diangkutnya pergi ke mana-mana dari pagi sampai petang, sampai nak pergi beli surat khabar dekat kedai pun kalau boleh nak angkut kedua anak sedaranya itu.

“Hai...asyik main dengan anak sedara je, bila pulak nak main dengan anak sendiri?” Dr. Maisarah mula berseloroh nada mengusik. Mata masih melekat ke televisyen yang sedang terpasang.

Terhenti terus tangan Zafeeq yang sedang galak menggeletek anak sedara kesayangannya itu. “Takde calon la ma,” jawabnya berbunyi malas.

“Handsome macam ni pun takde yang  sangkut ke? Ke... Zaf yang jual mahal sangat?”

Pelipis Zafeeq naik kerut. Jual mahal? Tak pernah pulak rasanya. Cuma hatinya ini saja yang bermasalah, langsung tak bergetar bila lihat wanita yang ada di sekelilingnya. Kecuali seorang... tapi...

“Nak buat macam mana ma... handsome sangat pun orang takut nak dekat.” Gumam Zafeeq bersama keluh.

Mata Dr. Maisarah naik menjeling kejap wajah anak bujangnya itu. lain macam saja bunyinya. Ada soalan yang sudah beberapa kali berlegar di kepalanya semenjak majlis ulang tahun sahabatnya Syarifah tempoh hari, tapi belum berkesempatan lagi hendak bertanya pada anaknya itu.

“Mama nak tanya sikit boleh?”

Zafeeq jungkit kening. Ica sudah ditariknya supaya duduk atas silanya di karpet itu.

“Zaf... ada apa-apa ke dengan anak Tan Sri Jamaluddin tu?”

Dada Zafeeq tiba-tiba tersentak kuat sebaik soalan itu terpacul di celah mulut mama. “Maksud mama?”

“Yela... maksud mama, Zaf ada hati ke dengan anak Tan Sri tu?” Sebab dibalik matanya sebagai ibu yang melahir dan membesarkan anak bujangnya itu selama 28 tahun ini, dia dapat merasakan ada sesuatu yang cuba disembunyikan anaknya itu. Renungan anaknya itu pada wanita muda itu nampak penuh maksud tersirat, bukannya dia tak perasan beberapa kali anaknya itu mencuri pandang anak gadis pemilik empayar hotel terkenal itu.

“Mana ada ma. Mia tu bos Zaf aje. Lagipun... manalah dia nak pandang Zaf ni, pekerja biasa aje.” Sanggahnya. Sedaya upaya cuba disembunyi rasa hatinya yang sebenar dari dihidu. Kerut terbentuk di dahi tua itu.

“Ketua Chef pun dikira pekerja biasa ke?” sampuk Dr. Maisarah. Beberapa saat kemudian nafas lega dilepas. “Elok la kalau macam tu. Mama pun tak berkenan dengan anak Tan Sri tu, baju macam tak cukup kain! Itulah akibatnya kalau terbawa-bawa sangat dengan gaya hidup barat, habis semua adab ketimuran dilupanya.” Laju saja mulutnya mengomen perihal gadis muda itu yang nampak tak kena dimata tuanya.

Zafeeq hanya mampu tersengih saja mendengar leteran yang keluar dari mamanya itu. Liur ditelan berbatu. Macam manalah agaknya kalau mamanya tahu yang dia sememangnya sudah ada hati dengan si Mia tu, jatuh pengsan agaknya nanti.

Tiba-tiba bunyi loceng kedengaran dari luar. Serentak mereka berpaling ke arah pintu.

“Hah...bakal menantu mama la tu.”

Berkerut hebat dahi Zafeeq dibuatnya. Menantu mana pulak?

Dr. Maisarah bangkit dari duduk. Ica cucunya diangkat dari riba anak bujangnya dan lengan itu ditepuk kuat. “Pergi la tengok siapa yang datang tu, mama bawak Ica masuk bilik kejap. Mengantuk dah budak busuk ni.” Pipi gebu itu dikucupnya sebelum berlalu pergi. Papa mamanya entah kemana merayap dari pagi tadi tak balik-balik, dating agaknya!

Zafeeq garu kepala sebelum bangkit dari sila. Langkah diatur ke luar pintu rumah.

“Ya... nak cari siapa?” Soalnya dari arah pintu yang sudah dibuka lebar. Sebaik ternampak raut yang menjenguk dari arah pagar itu, dia terpaku seketika. Beberapa saat kemudian baru senyumnya tertarik di hujung bibir. Gadis itu turut tersenyum manis seraya berjalan ke arahnya.

“Leeya... abang ingatkan siapa la tadi. Bila balik sini?” Soalan pertama yang terpacul buat si gadis berusia 24 tahun itu. Aleeya Aisha, anak uncle Borhan dan auntie Diah yang sudah hampir 15 tahun berjiran dengan mereka. Selipar disarung ala kadar dan dia turut mendekati gadis itu.

“Assalamualaikum...” Suara gemersik itu berbunyi lembut memberi salam.

Zafeeq termalu sendiri. “Waalaikumsalam,” jawabnya. “Bila Leeya balik? Abang tak tau pun.” Dia tanya sekali lagi.

“Baru dua minggu. Mana abang nak tahu, abang bukan duduk dekat sini pun.” Seloroh Aleeya. Bukannya dia tak tahu kalau abang Zafeeq duduk sendiri di kondominium, hujung minggu saja sekali sekala balik ke Bangi.

“Ye tak ye jugak.” Gumam Zafeeq. “Leeya buat apa sekarang ni?”

Aleeya tarik sengih. “Duduk rumah tanam anggur, kira bulu karpet...”

Zafeeq tergelak. “Pandai nak loyar buruk dengan abang ek.”

“Takde la... Leeya tengah tunggu panggilan SPA la untuk masuk interview. Insha allah dua bulan lagi rasanya.” Jawab Aleeya berterus terang. Sudah hampir 5 tahun dia menuntut di Universiti Alexendria, Mesir dalam bidang perubatan, akhirnya habis jugak.

“Leeya nak buat housement dekat mana?”

“Kalau boleh nak dekat-dekat sini je, boleh ulang alik rumah. Lagipun kesian umi tinggal sorang.”

“Habis tu Leeya ingat kalau dah mula housement, Leeya boleh balik selalu ke? Silap-silap muka auntie Diah pun Leeya tak sempat tengok tau.” Dia bercakap pun dari pengalamannya.

“Takde la, sekurang-kurangnya umi tahu la jugak anak dia ni sihat ke tak.” Balas Aleeya. “Eh... ni... umi suruh bagi kek coklat ni.” Tupperware bertukar tangan.

“Leeya yang tolong buat ke ni?” tanya Zafeeq sambil membuka penutup bekas itu.

Laju Aleeya mengangguk. “Tolong tengok.”

Serentak mereka berdua pecah ketawa. Tergeleng-geleng Zafeeq melayan si gadis ini, ada saja yang nak dibalasnya.

“Hei Leeya... buat apa dekat luar tu, masuk la meh.” Suara Dr. Maisarah mencuri perhatian keduanya. Dilihat mamanya sudah berdiri depan pintu sana.

Aleeya geleng. “Takpe la auntie, lain kali aje la. Leeya datang ni pun sebab nak bagi kek coklat ni, umi suruh.”

“Ermm... kalau ye pun masuk la dulu, boleh berbual dekat dalam dengan Zaf ni ha.” Dr. Maisarah mencelah lagi. Entah kenapa hatinya cukup berkenan dengan anak gadis Puan Radiah ni, sudahlah cantik, lemah lembut, bakal doktor lagi. elok sangat la kalau jadi menantunya, lagi pula dia sudah kenal dengan budak Aleeya ni dari kecil lagi. Dalam diam matanya melirik pada anak bujangnya sana.

“Dah berbual dah auntie. Lain kali la ye. Assalamualaikum,” ucapnya lembut menolak. Wajah kacak Zafeeq dipandang kejap. “Abang, Leeya balik dulu.”

“Yela... assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.” Sambut Aleeya bersama senyum manis.

Zafeeq berlalu semula ke dalam rumah. Bekas berisi kek itu diletak saja atas meja makan. Baru kakinya melangkah ke anak tangga untuk naik ke biliknya, suara mama berbunyi lagi. langkahnya terencat.

“Makin cantik mama tengok Leeya tu.”

Dia menoleh, mama dipandang.

“Dah la cantik, bakal doktor, hormat orang tua, sopan pulak tu.”

Kerut nipis mula terbentuk di dahi Zafeeq. Tak faham apa yang ingin disampaikan mamanya itu.

Wajah anak lelakinya di kaki tangga dipandang penuh makna tersirat. “Elok sangat la kalau jadi menantu mama kan?” sambung Dr. Maisarah seraya memandang telus anaknya itu. menyampaikan hasratnya dalam diam.

Zafeeq tersentak dalam diam. “Apa maksud mama ni?” soalnya.

“Yela... Zaf single, Leeya pun single. Jadi, tak ada salahnya kan? lagipun Zaf dengan Leeya pun membesar bersama, jadi Zaf sendiri dah tahu baik buruk perangai anak auntie Diah tu kan?” penuh hati-hati Dr. Maisarah menyusun ayat, mahu anaknya mengerti apa yang ingin disampaikannya. Dia sudah lama berkenan dengan anak jirannya itu. Memandangkan Aleeya juga sudah habis belajar, rasanya sudah tiba masanya untuk dia menyampaikan hasratnya itu.

Zafeeq hela nafas panjang sebaik mencerna setiap patah kata yang dimuntahkan mamanya itu. Maksudnya, mamanya ada berniat nak menjodohkan dia dengan Aleeya. Patutlah puji bukan main melambung tinggi lagi.

“Zaf pandang Leeya tu macam adik aje ma, tak lebih tak kurang.”

“Itu dulu, tapi sekarang ni Aleeya tu dah besar, dah matang. Mungkin nanti pandangan Zaf pun mula berubah pada dia,” celah Dr. Maisarah laju, masih teguh dengan pendiriannya.

Zafeeq menggeleng laju. “Tak... Zaf tak rasa macam tu. Mama ingat soal perasaan, kahwin ni boleh buat main ke? Macam mana Zaf nak kahwin dengan perempuan yang langsung Zaf tak cinta!” tegasnya. Terlihat deras turun naik dadanya menghela nafas.

“Habis tu Zaf cintakan siapa? Anak Tan Sri Jamaluddin tu?!” Dr. Maisarah mula meninggi suara, bila setiap kata-katanya dibangkang si anak.

Terus berkocak air muka Zafeeq bila soal Mia dibangkitkan dalam perbalahan ini.

Dr. Maisarah mendengus kasar sebaik terpandang perubahan air muka anak lelakinya itu. Entah kenapa firasatnya sebagai seorang ibu kuat mengatakan kalau anaknya itu benar menyimpan perasaan istimewa pada gadis itu.

Bengang dengan anaknya bongsunya itu yang sejak dulu tak habis-habis nak membangkang kata-katanya dan suami. disuruh jadi doktor, nak jadi chef! Disuruh bekerja dengannya, nak jugak bekerja dengan orang lain! Tapi disebabkan sayangnya, diturutkan saja semua keinginan anaknya itu. Tapi kali ni dia takkan berlembut lagi!

“Betul kan sangkaan mama...” anaknya itu ditunak tajam ibarat bilah pisau. “Zaf memang ada perasaan pada budak perempuan tu!”

“Ma...”

Telapak tangan Dr. Maisarah sudah naik ke depan. Memberi isyarat supaya anaknya itu menghentikan kata.

“Cakaplah apa pun yang Zaf nak cakap.” Si anak dicerun tajam. “Tapi sesekali mama takkan pernah restu kalau betul Zaf berhubungan dengan perempuan tu. Keputusan mama dah bulat. Zaf suka ataupun tak, mama tetap akan jodoh Zaf dengan Aleeya! Titik!!”

Tanpa menunggu walau sesaat pun terus Dr. Maisarah naik ke atas meninggalkan anak bongsunya itu. Langsung tak dipedulikan suara yang tak putus memanggilnya itu.

Muka diraup Zafeeq kasar. Buntu apa yang harus dibuatnya kini. Nampak seperti mamanya tak bermain-main dengan apa yang dilontarkan tadi. Tiba-tiba senyuman manis dan bunyi gelak tawa Mia seakan menari-nari lembut di peluput mata dan telinganya, membuatkan jiwa lelakinya berkocak hebat. hati lelakinya sudah terlajak jatuh cinta...

Tanpa sedar bunyi keluh meniti berat di bibirnya.








BAB 12


“Mia!”

Tanpa mempedulikan suara nyaring itu, Mia tetap meneruskan langkahnya walaupun mata-mata sudah mula mencuri pandang mereka berdua. Dia tak mahu nanti semua customer yang menginap di hotel mereka ini melihat kelakuan buruk mereka nanti. Walau apa pun, reputasi hotel dan syarikat ini tetap perlu dijaga dengan baik!

Julia di belakang yang seperti sudah disampuk hantuk itu hanya membuntuti langkah sepupunya itu hinggalah mereka melangkah keluar dari kawasan lobi hotel itu.

Sebaik mereka melangkah kearah taman belakang lobi yang nampak lengang pagi itu, Mia mula berhenti dan berpusing ke belakang.

Now talk! Kau nak cakap ap....”

Pang!!

Belum sempat dia menyudahkan ayat, pipinya sudah menjadi mangsa tamparan terlebih dahulu. Panas terasa kulit mukanya. Nafasnya ditarik dalam walaupun perit sakitnya terasa mencucuk-cucuk. Julia dipandangnya tanpa sebarang riak, darah dihujung bibirnya itu dijilat kecil.

“Dah? Itu aje yang kau nak buat?” Soalnya penuh bersahaja seolah-olah langsung tak terkesan dengan tamparan hebat tadi.

Julia ketap bibir kuat. sakit hati dengan reaksi bersahaja yang ditunjukkan sepupunya itu.

Melihat tiada balasan yang diterima, Mia mula mengorak langkah. Beberapa langkah kemudian lengannya ditarik kasar.

“Kenapa kau tak habis-habis nak mengacau hidup aku hah? Tak cukup-cukup ke lagi lelaki yang kau ada sampai sanggup merampas tunang aku, sepupu kau sendiri!” jerkah Julia menghamburkan bahang amarah yang sudah dipendam hampir dua minggu lamanya. Teringatkan pertemuannya dengan Muiz beberapa minggu lalu membuatkan hatinya berdarah kembali.

“Kita putus Ju... I tak boleh teruskan lagi hubungan dengan you. I dah tak cintakan you.”

Kata-kata yang terlontar keluar itu ibarat bola api yang hangus membakar jiwanya. Air mata jatuh menitis ke pipinya. Terus dia bangkit dari kerusi dan meluru kearah Muiz. Tubuh tegap itu dipeluknya erat.

“You bohong kan sayang...” pelukan direnggang dan wajah tak beriak itu ditatap. “You bohong kan sayang? you sengaja nak main-main dengan I kan?”

Muiz mendengus kasar. Tubuh langsing itu ditolaknya dari terus melekap di badannya. “You kena terima hakikat Ju, yang cinta I dah beralih arah. I cintakan Mia... dan I nak kahwin dengan dia. hujung bulan depan I nak suruh parent I masuk merisik Mia untuk I.”

Kepala Julia tergeleng-geleng kecil. tangan itu diraih. “Tak sayang...I tak percaya. You tak kenal lagi siapa Mia sebenarnya. Dia tu jahat! Perampas! I yang kenal dia dari kami kecil lagi, semua buruk baik dia I dah tahu.” Bersungguh-sungguh Julia memburukkan sepupu yang cukup dibencinya itu.
“Jadi you nak cakap yang you baik sangat la?” tawa sinis Muiz menampan telinga. “You ingat I tak tahu apa yang you buat belakang I selama ni? You dengan I sama aje la Ju...”

Bola mata Julia naik terbeliak. Terkejut! Tak menyangka apa yang dilakukan di belakang lelaki itu selama ini sudah terbongkar. Liur ditelan payah.

“Tapi...tapi semua lelaki tu cuma untuk berseronok aje Muiz, macam you jugak. Cuma you satu-satunya lelaki yang I cinta...” Muiz dipeluk sekali lagi.

“Enough Julia! You kena terima hakikat yang cinta kita dah berakhir! I cintakan Mia!”

“You tak boleh buat I macam ni Muiz!!” Julia mula naik hantu dihambat sakit hati. Handbag ditangannya dipukul-pukul kuat ke dada itu. Nama Mia itu seakan duri yang menujah-nujah cemburu dihatinya.

“You jangan jadi gila Julia!!” suara garau itu mengguruh tinggi. Ditolak bahu itu kuat hingga terjelepuk Julia ke tanah. Telunjuknya naik tepat ke muka itu.

“Mulai hari ni hubungan kita putus! I tak nak you datang jumpa atau call I lagi lepas ni. Faham?!” sejurus itu terus Muiz berlalu pergi.

Tak berkelip belakang tubuh yang pergi meninggalkannya itu dipanah tajam dengan bola matanya yang merah ibarat biji saga. Giginya diketap kuat hingga kelihatan gigilan di situ. Dendam kesumat mula menjalar perit. Dia akan pastikan Muiz menyesal dengan keputusannya!

“Aku tak pernah ada perasaan dengan Muiz atau mana-mana lelaki pun Julia! Kalau kau putus dengan Muiz sekalipun, bukan aku penyebabnya!” Mia menegas penuh bersungguh sekaligus menyapu pergi semua imbasan Julia.

“Tapi Muiz kata dia dah jatuh cinta pada kau, dan sebab tu dia putuskan pertunangan dengan aku. Kau rasa aku patut persalahkan siapa sekarang ni?!!” serang Julia lagi dengan bola mata yang sudah merah membendung marah dan sedihnya.

Nafas dilepas Mia perlahan. “Macam mana lagi kau nak aku cakap yang aku memang langsung takde perasaan pada Muiz. Takde! Kalau faham tak, takde!”

“Kalau takde angin, masakan pokok boleh bergoyang!” kemudian Julia mula menyilang tangan ke dada. Senyuman sinis mula dikoyak dihujung bibir. “agaknya betullah apa yang papa aku kata agaknya, manakan tumpahnya kuah kalau tak ke nasi.”

Air muka Mia muka berkocak. “Apa maksud kau?”

“Kau rasa? Papa kau kahwin lain sebab apa? Kalau bukan sebab...” mukanya didekatkan ke wajah sepupunya itu. “Mama kau main jantan lain dekat belakang.”

terus wajah mulus itu naik membera merah. tangannya dikepal kuat sebelum melayang kuat ke pipi itu.

Pang!!

Terlihat jelas gigil di bibir itu menahan sebak dan marah yang bercampur menjadi satu. Air matanya gugur tanpa mampu ditahan lagi

“Kurang ajar! Kau tak layak cakap arwah mama aku macam tu!!” jeritnya sebelum mula meluru kearah Julia dan terus ditarik rambut itu kasar.

Mereka mula menyerang sesama sendiri

“Aku cuma cakap benda yang betul! Mak borek anak rintik, patutlah perangai kau pun sama aje macam mama kau, suka menggoda lelaki orang! Memang dasar perempuan murahan!” jerit Julia kasar. Habis ditampar-tampar pipi mulus itu, biar puas hatinya. Biarkan muka tu cacat supaya tak ada lelaki lagi yang akan tergoda dengan raut wajah itu!

“Kau jangan nak samakan aku dengan kau la gila!” Jerkah Mia pula dalam menahan rasa sakit dan sebaknya. Membuak air matanya keluar. Dia boleh terima kalau dia yang dicaci, dihina. Tapi jangan pernah menghina arwah mamanya! Dia tak boleh terima!

Kemudian datang dua orang pekerja lelaki dan beberapa pekerja wanita meleraikan pergelutan mereka. Kedua-duanya ditarik menjauh.

“Sekali lagi kau hina arwah mama aku, aku takkan teragak-agak untuk bunuh kau Julia!” jerit Mia bagai nak terkeluar anak tekak.

“Dah memang kau tu dasar anak penggoda! Sampaikan tunang aku pun kau nak goda, macam takde jantan lain dalam dunia ni!” jerit Julia pula turut menggila.

*****

Izzati mula laju berlari memasuki restoran dan terus menuju ke ruang dapur di belakang.

“Wei...wei...wei...berita hangat! Berita hangat!” ucap Izzati dengan mengah yang bersisa. Tray besi ditangan diletak saja atas kabinet besi di situ

“Berita hangat apanya Zati?” Sulaiman yang memotong sayur-sayuran yang baru sampai tadi mendongak.

“Cik Mia dengan Cik Julia bergaduh lagi. Dekat taman sana tu.”

“Huh?!”

Zafeeq yang sedang sibuk menyediakan Truffle Sauce bersama pembantunya disebelah pantas menoleh sebaik mendengar sebaris nama itu.

“Pasal apa lagi dorang bergaduh kali ni?” tanya Syakira pula ingin tahu. Siapalah yang tak tahu kalau sua orang sepupu itu memang berseteru. Tak sebulu senang cerita!

“Entah...aku pun dengar tak dengar je masa lalu depan taman tadi. Yang aku dengar, Cik Julia tu menuduh arwah Puan Sri ada lelaki lain belakang Tan Sri. Lepas tu pasal apa lagi, pasal Encik Muiz la kot. Cik Julia tu menuduh yang Cik Mia sengaja nak menggoda tunang dia!” Cerita Izzati dari apa yang sempat didengarnya tadi. Masakan tak dengar kalau masing-masing dah suara tinggi nyaring. Orang pekak pun boleh dengar agaknya!

“Tak habis-habis tau dua orang diva ni. Dia orang ingat hotel ni dia orang je ke yang ada. Kalau nak bergaduh pun agak-agak la, ramai orang kot. Jaga la sikit air muka Tan Sri,” kata Syakira bersama gelengan.

“Tapi...kau rasa betul ke Man, yang arwah Puan Sri tu ada simpan lelaki lain belakang Tan Sri dulu? Kau kan dah lama kerja sini,” tanya Izzati ingin tahu.

Tapi sebaik dia menyudahkan pertanyaannya itu, lengannya tiba-tiba dicuit dari belakang. Melihat isyarat mata yang diberikan Hairi, rakan sekerjanya itu, terus mulutnya tertutup rapat bila dilihat Chef Zafeeq sudah memandangnya tajam.

Sudahnya semua mula bersurai menyambung kerja masing-masing. Zafeeq yang hanya berdiam dari tadi mula diseru bimbang bila memikirkan keadaan Mia ketika ini.

Tiba-tiba tangannya yang sejak tadi ligat mengacau sos dalam periuk kecil di depan mula berubah perlahan dan akhirnya terhenti. Pembantunya disebelah yang sedang mencatat sesuatu di dalam buku kecil dipandang.

“Awak tolong sambung Zul, saya nak keluar sekejap,” ucapnya seraya membuka apron hitam yang dipakainya. Kemudian ditinggalkan saja apronnya atas meja sebelum melangkah keluar dari ruang dapur.

Zafeeq naik ke bahagian pejabat, tak dipedulikan mata-mata yang memandangnya pelik.

“Woi...kau buat apa dekat sini?” Sapa Khairil yang baru keluar dari pantri. Bahu itu dipeluknya. “Kau nak jumpa siapa?”

“Mia...kau ada nampak Mia?”

“Mia?” nama itu diulang rendah, tak mahu ada sesiapa yang mendengar. “Aku dengar dia gaduh dengan Cik Julia tadi.”

Zafeeq berdecit. “Kau ni, aku tanya lain kau jawab lain. Aku tanya, kau ada nampak Mia tak?!”

Khairil yang terkejut dengan sikap sahabat baiknya itu, terus laju menggeleng. “Entah, lepas dia turun dengan si Julia tadi, terus tak naik-naik dah. Kenapa?” Riak gusar Zafeeq itu disorot dengan kerut nipis.

“Takpe la, aku jumpa kau petang nanti,” tutur Zafeeq. Bahu itu ditepuknya sebelum berlalu pergi. Iphone dalam kocek seluar dibawa keluar dan nombor Mia didialnya. Tak berangkat. Benaknya mula diserbu risau.

Lantas laju tangannya menolak pintu dibahagian tangga, pantas kakinya menuruni anak-anak tangga di situ. Nombor Mia didail sekali lagi. tak semena-mena telinganya menangkap bunyi sayup-sayup telefon berbunyi dari arah bawah. Bila panggilan dimatikan, bunyi tadi juga turut menghilang. Kemudian nombor itu didail semula, dan bunyi itu bergema semula. Pantas kakinya makin laju menuruni anak tangga.

Sebaik matanya menangkap bayang seseorang yang sedang duduk menyandar di anak tangga dibawah sana, automatik derap langkahnya turut berubah perlahan bila bunyi esak tangis itu kian jelas menampar telinganya.

Sebaik dia tiba di belakang tubuh itu, dia turut melabuhkan duduk di anak tangga itu. melihat rambut yang sudah kusut masai itu nafasnya dihembus perlahan. Entah kenapa mendengar tangisan itu, hatinya turut terasa pilu dan sakit. Lambat-lambat sapu tangan dalam koceknya dibawa keluar dan dihulur ke depan.

Perlahan-lahan Mia menoleh ke belakang. sebaik dia mendongak melihat gerangan siapa itu, makin lebat air matanya gugur.

“Mia...”

"Zaf..." Perlahan-lahan dahinya dijatuhkan ke lutut Zafeeq dan dia menangis lagi di situ.

Hampir sepuluh minit hanya bunyi esak tangis yang menemani mereka. Zafeeq pula hanya mampu meminjamkan telinganya. Nak dipeluk tubuh langsing itu, dia masih tahu batas mereka. Lantas dia hanya mampu melihat dan mendengar saja.

Setelah mampu bertenang, Mia angkat kepala dari bersandar di lutut itu.

Tiba-tiba Zafeeq bangun dari duduknya dan lengan baju Mia ditariknya. “Ikut I.”

Mendengar ayat berbaur arahan itu, Mia hanya mengikut saja langkah kaki panjang itu menuruni tangga walaupun sedikit terpinga. Sebaik mereka sampai ke ruang lobi hotel, automatik Mia bersembunyi sedikit dibelakang tubuh sasa itu.

Mia ditarik masuk ke dalam bilik dibelakang ruang dapur restoran tempat pekerja-pekerjanya berehat. Tak dipedulikan mata-mata yang melihat pelik mereka berdua tadi.

“Duduk.”

Mia masih tercegat berdiri.

“duduk I kata,” tekan Zafeeq sedikit keras. Teragak-agak Mia mula melabuhkan duduknya ke kerusi plastik di situ.

Salah satu locker besi yang bersusun di bahagian kanan bilik itu dibuka Zafeeq, dan kotak first aid kit dibawa keluar. Satu kerusi plastik ditarik dan kemudian dia duduk betul-betul di hadapan gadis itu. Cecair iodine dituang sedikit pada putik kapas.

“Pandang I.”

Kepala dipanggung Mia ke depan. Berdesup pandangan matanya bersabung dengan sepasang mata hitam itu, menerbit rasa hati yang luar biasa detaknya.

“Apa yang jadi sebenarnya?” Zafeeq mula menyoal sebaik putik kapas itu mula disapu ke hujung bibir merah yang terluka itu. Bibir bawah digigit Mia sedikit bila terasa bisa sakitnya.

Mia menggeleng. “Masalah family je.”

Nafas dihela Zafeeq dalam. “Masalah family sampai you cedera macam ni? Mia... kalau you tak cerita, you sendiri yang akan sakit,” lembut dia memujuk.

Mendengar bicara itu, cecair jernih itu menitis semula ke pipi. Tak lepas mata berkaca itu disorot Zafeeq. Mata yang terlalu banyak memandam rasa baginya.

“I boleh terima kalau semua orang caci I, hina I, cakap macam-macam pasal I. I tak kisah Zaf! Tapi...tapi jangan sesekali cakap buruk pasal arwah mama I. I tak boleh terima kalau nama mama diburukkan, apa lagi dari mulut ahli keluarga I sendiri,” ucap suara itu dengan getar yang dibendung pilu. Merembes air mata dari mata berkaca itu.

Zafeeq hanya diam mendengar. Ya...dia tahu kalau Mia sangat sayangkan arwah mamanya itu. Sapu tangannya ditangan Mia ditarik dan disapu  menghapus air mata itu.

“Takkan sebab tu je kot?”

Mia senyap beberapa saat. Matanya ditunduk ke lantai. “Macam biasa la, Julia tu tak habis-habis nak menuduh I menggoda lelaki dia.”

“Betul ke?”

Automatik bola mata Mia mendongak ke atas. Seakan mengerti pandangan mata itu, nafasnya dihela hangat. “Sebenci-benci I pun pada Julia tu, I takkan rampas la lelaki dia. Ingat I kebulur sangat ke dengan lelaki macam Muiz tu. Sekali tengok I dah tahu dia kaki perempuan.”

Tanpa sedar, hujung bibir Zafeeq melarik senyum kecil. Kemudian keduanya hanya berdiam mulut hinggalah siap luka dibibir itu dibalut dengan kain kasa kecil. Barang-barang tadi dikemas semula.

Jemari runcing Mia mula melurut rambutnya yang sudah kusut masai gara-gara pergaduhan tadi. Sebaik dilurut rambutnya itu, beberapa helai rambutnya turut melurut jatuh di celah jarinya. Satu keluhan kecil terlepas dicelah bibir itu.

Zafeeq hanya memerhati perlakuan gadis itu tanpa lepas. Belas melihatan riak wajah itu.

Terlepas keluh kecil dimulut itu “Lama-lama macam ni, habis botak agaknya rambut I,” gumamnya rendah seraya menyapu bersih sisa air matanya.

Mendengar omelan yang meluncur di bibir mongel itu, Zafeeq tak mampu menyembunyi gelaknya. Terus terhambur tawanya mendengar kata-kata itu.

Mia angkat muka  melihat Zafeeq yang masih ketawa memandangnya itu dengan muncung. “Gelak...gelak la puas-puas!” katanya berbunyi rajuk. Raut itu disorotnya dalam. Ketawa pun nampak kacak...bisik hati kecilnya.

“Dah dua kali you tengok keadaan I macam ni. Tak vogue langsung tau!” adu Mia lagi selepas ketawa lelaki itu berhenti. Masuk kali saja dah dua kali Zafeeq melihatnya begini, dengan rambut dan makeup yang sudah serupa mak lampir saja gayanya.

“Sebab tu I ni special. Cuma I sorang aje yang pernah tengok rupa teruk you macam ni,” sahut Zafeeq bersahaja bersama senyum kecil yang bergayut dihujung bibir itu.

Mia terkesima.  Raut itu direnung tak berkelip. Sapu tangan ditangan ambil semula dan dilap bersih sisa air matanya sebelum dihulur semula pada Zafeeq. “Terima kasih.”

“Tak nak basuh dulu ke?” Tanpa teragak sapu tangannya itu diambil Zafeeq semula.

“Hadiah untuk you, bukan senang I nak menangis.” balas Mia sebelum tersenyum manis. “Thanks.” Dia berlalu ke pintu yang renggang sedikit. sebaik daun pintu ditarik....

“Ooo...oo...oo...” suara kuat menerjah telinga.

“Arghh...” Hampir melompat Mia bila tiga orang staff dapur sudah terjatuh ke lantai menghempap satu sama lain. Sepantas kilat kepala Zafeeq menoleh ke belakang sebelum matanya turut terbeliak besar.

“Opss...” suara salah seorang di situ terlepas. Cepat-cepat mereka berdiri kalut. “Sorry Chef! Kami curi dengar! Kami sedia dihukum chef!” ucap ketiga-tiganya kuat sebelum pantas bergerak keluar dengan muka gelabah.

Mia naik memandang Zafeeq, dan Zafeeq turut naik melihat Mia. Sesaat kemudian, meletus ketawa dari kedua bibir itu. Menggeleng kecil Mia dibuatnya. tangannya dibawa naik pada Zafeeq sebelum berlalu keluar.


Zafeeq dibelakang hanya memandang hingga bayang tubuh itu hilang dibalik pintu sana. Perlahan-lahan sapu tangannya itu dibawa dekat dan dihidu dalam, seakan terbau-bau lagi bau haruman perfume yang dipakai gadis itu. Dadanya yang tadi dipukul risau, kini terasa lapang selepas melihat senyum manis itu tadi. Tanpa sedar bibirnya mengoyak senyum.

BERSAMBUNG.....

p/s: New update gais.... komen yang murni2 ye hehe, nampaknya bunga2 cinta dah mula bermekaran hehe >_<

9 comments:

Unknown said...

best 3x.

Unknown said...

nak lagi..hehe..suka sgt dyorg ni.

WAN SARINAH BT WAN IBRAHIM said...

Besttttt nak lagiiii

WAN SARINAH BT WAN IBRAHIM said...

Besttttt nak lagiiii

Nrzlx said...

Nk lagi plissssss haha

Lady E said...

Best

Unknown said...

Hi sis, novel ni akan diterbitkan ke? Or, sis just buat novel ni jadi e-novel je? Btw, jalan cerita sis best! And sis pun comel gak orangnye huhuhu. Goodluck with your passion, sis. XD

hattori said...

best...nak sambungann

Unknown said...

Saya dah baca novel ini dan sangat menyukainya. Ada dijual sebaga eBook tak?